Monday, January 6, 2014

NOVEL: ANUGERAH IMAN-BAB 4-6


Hakcipta terpelihara. Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana kandungan cerita ini dalam apa jua bentuk dan dengan apa jua cara sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman atau cara lain sebelum mendapat izin bertulis daripada penulis.


BAB 4

Temujanji Azman dengan pelanggan syarikat Nusantara Furniture Sdn Bhd.

Azman tidak mengerti di pagi hari ini dia begitu berdebar-debar. Seperti mahu menghadiri temuduga pekerjaan rasanya. Sudah tiga kali dia ke bilik air. Pengawal keselamatan di Pejabat Syarikat Nusantara Furniture Sdn Bhd pun merasa pelik. Selepas berjumpa dengan setiausaha syarikat, Azman dan Encik Yusof di minta duduk di sofa tempat menunggu. Bermacam-macam perkara bermain di fikirannya. Adakah dia akan bertegang urat dengan client specialnya ini nanti?. Kalau difikirnya kembali disaat dia bercakap dalam talipon client ini nampak garang dan serius. Hai lantaklah, yang penting dia sudah membuat kerja yang seperti disuruh. Kalau ada pembetulan itu dikira bonus, yang penting client sudah memilih bentuk design yang dikehendaki. Tapi kali ini dia agak bingung, client mahukan design baru!. Sebagai designer benda-benda macam ini memberi tamparan hebat padanya. Ego seorang designer sepertinya akan tercabar dan tercalar. Ya Allah. Permudahkanlah urusan ku pada hari ini.

" Kau ni macam nervous aja. relax lah." Encik Yusof seakan mengetahui akan masalah jiwa yang bergelora itu.

" Gabra sikitlah Encik Yusof. Mintak-mintak tak jadi masalah hendaknya" Azman cuba memujuk hatinya yang tertekan. Astagfirullah aladzim. Itulah doa keramat yang selalu diucapkan ketika dia berhadapan dengan masalah jiwa yang meronta.

Setiausaha syarikat menjemput Azman dan Encik Yusof ke bilik Khairani. Azman merasa berdebar. Dia mengekori Encik Yusof dari belakang. Nasib baik ada Encik Yusof kalau tidak dia tidak tahu apa nak dikata.Pintu diketuk perlahan.

"Masuk" Kedengaran suara wanita perlahan dari dalam bilik.

Ketika Azman melihat kelibat wanita yang sedang berada dihadapannya, dia tidak percaya. Mahu di tonyohnya mata samaada benarkah apa yang dilihatnya sekarang. Disaat giliran Azman menyambut tangan Cik Khairani tidak semena-mena terpacul perkataan keramat!

"Macam pernah nampak!" Azman bersuara. Encik Yusof kebingungan. Macam drama swasta pulak.

At Bas Stop?" Cik Khairani menyambut kata. Azman tersengeh macam kerang busuk.

" Tak sangka Cik Khairani masih ingat!" Tersipu-sipu lagaknya.

"Apa tak ingat, orang disana asyik terjeling-jeling macam tak pernah tengok orang!. Hari tu kereta rosak, so tunggu teksi kat situ. Rumah Encik Azman disitu ke?"

"Kondo Permai" Jawab Azman ringkas.

" Rumah saya disebelah Kondo tu." Cik Khairani menyambung cerita, dengan mesra mempersilakan tamu untuk duduk.  Azman tahu ada rumah teres dua tingkat disebelah Kondo Permai. Taman Mahligai namanya.

"Kecil sungguh dunia ni ye." Celah Encik Azman gembira. Baginya satu masalah besar sudah selesai di pagi yang bersejarah ini.

"Okey kembali kepada urusan kita yang tergendala hari tu. Saya rasa iklan yang hari tu boleh pakai lagi. Cuma perbaiki dari segi konsepnya. Nampakkan lebih ceria dan eksklusif  supaya pembaca nampak impressed. Boleh!" Terang Cik Khairani serius. Baginya kerja tetap kerja hal peribadi boleh dipinggirkan dahulu. Azman merasa sungguh lega sekarang. Nasibnya memang baik hari. Cik Khairani yang dikenali cukup tegas dan serius mengambil keputusan yang tidak mengecewakannya. Yang paling penting jangan minta buat design baru itu pintanya.

" Setuju tak kalau kita gunakan warna gold sebagai warna utama dan gunakan font berbentuk handwriting untuk menampakan eksklusif serta gunakan gambar model yang kelihatan ceria!" Encik Yusof memberi cadangan. Selalunya penggunaan model perempuan yang cantik adalah jalan mudah untuk menarik perhatian audience.

" You all buat dulu, nanti emel. Saya nak tengok. Okey?Cik Khairani mengakhiri perbincangan di pagi itu. Selepas bersalaman dan bertukar card business, mereka pulang ke pejabat mereruskan tugas semula.

Di pejabat Azman tampak gembira dan ceria lebih dari selalu, sehingga semua staff A&G Advertising merasa pelik. Buang tabiat ke apa, tiba-tiba tersenyum sendiri, diselangi dengan nyanyian berunsur cinta. Sehinggakan komputernya pun lagu Jay-Jay 'setelah kau datang' berkumandang sayup-sayup.

" Apa kena dengan you ni Azman...Angau ke apa!. Bercinta ya?" Julia menduga, risau juga dia melihat Azman berperangai begitu. Di lamun cinta agaknya.

" Takda apa-apa."

"Habistu apasal you asyik tersenyum, ketawa. macam tercabut wayar je!"

"Saja menghiburkan hati"

"Mesti ada sesuatu ni. Cakaplah"

" Betul tak ada apa-apa. Nanti i bagi tahu youlah."Azman cuba menutup hal sebenar, meninggalkan tandatanya pada Julia. Niatnya untuk ingin tahu dan menolong jadi terbantut. Terkadang ada benda yang boleh dan ada yang tidak boleh dikongsi dengan teman. Itulah salah satu prinsip dalam hidup namanya.

Di Kondo Permai, Mahmud balik awal hari ini. Bekerja di Securities Firms memang tidak menang tangan dibuatnya. Tugas di bahagian akaun membuatkan dia balik rumah tidak tentu masa. Ada masa dia pulang sebentar kemudian lewat malam dia pergi semula berkerja, kadang tidak balik langsung. Sampai di rumah Azman sedia menanti. Malam ini ada pasar malam tidak jauh dari kondo tempat mereka menginap. Makanan favouritenya seperti Yong Tau Fu dan Me Hoon Sup Utara memang class. Pasar Malam Rabu di kawasan itu memang sentiasa penuh dengan pengunjung, tidak kira tua muda anak dara semua turun. Nak menjamu mata pun boleh takde hal, cuma jangan pandang lama-lama. Kata ulama pandang sekali hukumnya harus tapi kalau pandang kali kedua itu adalah dari syaitan!. Sewaktu Azman singgah di gerai Mee Hoon Sup Utara dia terperasan dengan seseorang yang seperti dikenalinya. Betul betul berdiri disebelah bersama seorang perempuan yang agak berumur. Tentu ibunya.

"Hai Cik Khairani, suka makan meehoon sup ke?" Tegur Azman.

"Encik Azman rupanya, ingat sapa tadi. Mak kita suka sangat Meehoon ni"  Sambil menjeling kearah ibunya disebelah.

" Apa khabar Makcik?" Sapa Azman lembut. Kalau berkenan dengan anak daranya mesti tahu mengambil hati ibunya. Zainab hanya tersenyum tawar pada Azman. Kalau mereka mahu mengorat anak aku jangan harap bisik Zainab. Mahmud pula tersipu-sipu memandang kami. Matanya terpacak dan bagaikan terpegun melihat Cik Khairani. Cepat-cepat Azman menyenggol tangannya memberi tanda isyarat amaran!. Mahmud seperti tersedar dari lamunan. Cantik betul anak dara ni bisiknya. Betullah Azman ni, tak dikenalkan pun aku pada anak dara ni! gerutu Mahmud. Cepat-cepat dia menolak bahu Azman sambil membeliakkan mata dan memuncungkan mulut kearah Khairani.

" Ohh sorry, ini Mahmud kawan serumah". Azman memperkenalkan Mahmud pada Khairani walaupun berat hatinya mahu berbuat demikian. Mahmud tersengeh mengangguk tanda hormat

" Okey Encik Azman, jumpa lagi esok!" Khairani meminta diri. Mata Azman terus mengekori dua beranak itu berlalu dan terus hilang dicelah-celah manusia yang sibuk membeli-belah disekitar kawasan pasar malam.

" Eh! Man sapa tu, selama ini kau tak pernah bagitahu aku pasal awekni...apa namanya? Tinggal dimana?" Mahmud bagai tidak sabar ingin tahu. Macam bidadari dari syurga!.

"Tak payah berangan Mahmud! dia tu client aku!. Aku tidak akan membenarkan kau mendekatinya. Aku kenal kau. Kau tidak sesuai untuk dia. Kecuali kau bertaubat!" Jelas Azman serius begitu beria dia. Mahmud memuncungkan mulutnya, sambil mengurut-ngurut janggut ciputnya.

"Aku tahu aku jahat, sekurang-kurangnya kau bagilah aku peluang!."

" Mahmud dia client syarikat aku. Kalau terjadi apa-apa antara kau dan dia, akan mendatangkan reputasi buruk pada aku dan syarikat. Kau bayangkan kalau kau bergaduh, dia bengang dan terus tak mau bagi aku job masak aku Mahmud!" Azman memberi helah. Itu sahaja alasan yang dia ada untuk menghalang Mahmud dari terus mencuba mencuri hati wanita yang juga menjadi idaman hatinya.

" Aku tak nak kenalkan kau pada dia. Kau cubalah sendiri! "

" Man tolonglah aku, Bagilah aku chance!"

" Aku kata tak boleh!. Tak boleh lah. Kau faham tak?

" Eleh... ini mesti kau ingat aku kacau daun kau kan?

"Mana ada!"

" Kau jangan nak bohong aku Man!... Aku kenal kau dari kecil!"

" Kau jangan nak merepeklah!"

" Aku tahu kau suka pada dia! Kau takut dia syok kat aku kan?" Mahmud meneka, sambil menuding jarinya ke muka Azman. Bohong kalau Azman tidak tertarik pada gadis itui. Lelaki mana yang tidak tertawan melihat gadis bernama Khairani. Kesempurnaannya sebagai wanita idaman sememangnya menjadi igauan sang pria. Semua cukup, senang kira boleh jadi cover magazine lah!.

" Kau janganlah perasan! Tolonglah!. Aku malas nak layan kau. Jom kita belah!. Nanti sup ni sejuk pulak!" Merah padam muka Azman menahan malu kerana cuba untuk berselindung supaya Mahmud tidak perasankan yang dia juga ada hati pada Khairani.

Di rumah, selesai menjamu selera dengan  juadah yang dibeli, Azman terus masuk ke biliknya. Malas dia mahu berborak dengan Mahmud. Biasanya mereka penuhi waktu malam dengan berborak panjang sambil menonton televisyen. Entah kenapa malam ini terasa dirinya ingin bersendiri dan melayan perasaan. Wajah Khairani terngiang-ngiang didalam kepalanya.  Pertemuan kali kedua  dengan anak dara itu tadi benar-benar membuatkanya resah-gelisah. Sungguh dia tidak menyangka mereka dipertemukan lagi. Kata orang kalau kita kerap terjumpa orang yang kita minati, itu bererti ada jodohlah tu. Peristiwa itu sememangnya menjadi titik tolak perubahan dalam jiwanya. Ada sesuatu yang bergelodak dalam hatinya. Tidak dapat dibayangkan bagaimana mahu dijelaskan dengan kata-kata. Inikah yang dikatakan orang jatuh cinta?.Seperti lirik lagu R.Azmi 'dari mata turun ke hati! . Hai kenapalah tiba-tiba Khairani boleh muncul dalam hidupnya. Sememangnya dia tidak boleh melupakan wajah gadis itu. Semakin dia cuba mahu hilangkan dari ingatan selagi itulah raut wajahnya bermain di fikiran. Wajahnya muncul bertali arus seakan tiada henti,  Azman membayangkan  dia datang dengan memberi senyuman yang paling manis sambil tangannya seakan melambai-lambai dan memanggil-manggil serta diikuti dengan menari melenggang lenggung didepan mata!.  Azman memejam mata dengan ketat!. Seolah tidak mahu lagi melayani fikirannya. Tapi tidak semena-mena wajah Julia pula muncul! Timbul berselang-seli dengan wajah Khairani. Kenapa dengan aku ni?. . Angau ke aku!  Ha ha ha sah aku dah angau!.kalau tak pun gila bayang!. Kedua wajah gadis jelita itu bermain-main lagi di kepalanya seakan membanding-bandingkan antara satu sama lain. Sekejap wajah Julia, sekejap wajah Khairani. Bila wajah gadis kacukan itu muncul lagi, dia mengerut. Julia tidak mungkin!. Aku tidak secocok dengannya. Dia anak orang berada!. Kalau Khairani...ahhh dia pula client syarikat aku! Bingung-bingung!. Astagfirullah al adzim!  Apa sudah jadi dengan aku ni? Syaitan mana yang cuba mengganggu merasuk fikiran aku ni!..Ya Allah aku mohon pelindungan dari Mu dan berikanlah aku petunjuk. Semuga hati ini tenang menghadapi cubaan yang mendatang ini. Tidak sabar rasanya Azman nak pergi kerja esok!...Rindu rasa nak mendengar suara Khairani yang sebelum ini amat dibencinya!. Akhirnya Azman tertidur juga. Terlena dengan di temani mimpi-mimpi yang indah. Mimpi yang diharapkannya akan menjadi kenyataan.

Azman sampai awal ke pejabat. Sewaktu dia tiba, pejabat belum buka. Faridah setiausaha bos belum sampai lagi, dia yang pegang kunci. Tidak lama kemudian Azman ternampak dia sampai. Tertonggek-tonggek berjalan, maklumkan pakai kasut tinggi. Yang penting ada gaya!

"Hai awal Azman. Apa mimpi kau pagi-pagi dah sampai ni?" Faridah menegur sementara jemari kecilnya pantas membuka mangga kunci.

"Adalah kerja nak buat!" Jawapan Azman agak serius. Tidak kuasa dia nak melayan teguran Faridah yang seakan memerlinya.

"Hai marah  nampak, tanya tak boleh ke?

"Boleh!." Bersahaja jawapan Azman. Dia tidak mahu memanjangkan isu, yang penting sekarang ini mahu segera ke meja untuk menyiapkan kerja untuk syarikat Nusantara Furniture Sdn Bhd.

Serius Azman mahu menyiapkan kerjanya. Pelawaan Julia bersarapan ditolaknya lembut. Busy katanya. Julia terasa hati melihat perubahan Azman. Terasa malupun ada, tapi jiwa kental baka kacukan berjaya menyembunyikan perasaan hampa yang bersarang didalam hatinya.

" Sorry Julia, i tak dapat temankan you pergi sarapan pagi ni, i busy sikit, artwork Nusantara Furniture tu urgent!,  before tengah hari i kena emel!. Nantilah kalau i free i pergi okey?" Jawab Azman tegas. Julia mengangguk tanda faham. Dia tidak boleh memaksa. Selalunya dia akan menangguhkan kerja sekejap untuk bersarapan, bukannya lamapun. Paling lamapun setengah jam! Julia seakan tidak puas hati.

"Itulah orang tengah busy kau ajak, aku ni hah tengah free kau tak mahu pelawa pulak" Karim cuba menyucuk jarum. Julia mengetap bibir dan terus berlalu menuju ke mejanya. Geram betul dia pada Karim, seakan sengaja membuat hatinya jadi geram!. Bertambah benci dia melihat Karim, nak perli-perli orang pulak.

Julia mentonyohkan pen diatas meja. Tidak tahu apa yang digores-goresnya. Ini pertama kali Azman menolak pelawaannya. Dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Firasat dihati keperempuannya pasti benar. Semalam dia ceria bukan main, hari ini pulak sibuk nak buat kerja. Buat kononlah tu. Kalau betul takan ajak pergi sarapan pun tak mahu!. Adakah dia dah ...Ahh tak mungkin. Kenapa aku perlu berfikir yang buka-bukan!... Aku bukan kekasihnya untuk merasa cemburu!. Julia menarik nafas dalam-dalam, dan perlahan-lahan dia menghembuskan kembali. Aku perlu tenang dan bersabar. Masa masih panjang, peluang tetap ada. Julia membuka kotak bedak compact powder di atas meja, perlahan-lahan dia melihat wajahnya di cermin alat make-up itu. Diraba perlahan-lahan pipinya yang putih kemerahan itu. Wajah cantik seperti ini tidak perlu merasa kecewa. Sedar tidak sedar air matanya mengalir. Cepat-cepat dia mengesat airmatanya. Dia tidak pernah mengalirkan air mata kerana lelaki sebelum ini!. Tetapi Azman berjaya membuatnya begitu. Jangan menangis Julia, kalau kau kecewa hari ini bukan bermakna kau kecewa selamanya, banyak lagi kumbang-kumbang handsome diluar sana yang tergila-gilakan kau!. Julia memujuk hatinya. Tapi Azman lain, lain dari lelaki yang pernah dikenalinya. Betullah kata orang kalau kita sudah mula suka pada seseorang itu, maka dialah permata, dialah intan dan dialah segalanya bagi kita maka akan tertutuplah pintunya untuk orang lain!. Sesekali mata Julia menjengok atas partition divider depan meja untuk melihat Azman. Azman masih leka membuat kerjanya. Ini bukan masanya yang sesuai untuk dia mendekati diri anak muda itu!...Julia teringat kata-kata Azman, pesannya kalau kita redha dengan ketentuan Allah nescaya Allah akan memberikan kita ketenangan dan kebahagiaan!...dan akan dipermudahkan segala urusan. Itu janji Allah, kita kena percaya dan taat padaNya.

Azman masih leka dengan kerjanya, tanpa dia sedari ada hati yang terguris diatas sikapnya itu. Baginya menyiapkan artwork untuk syarikat Nusantara Furniture Sdn Bhd adalah amat penting. Ini sahaja peluangnya untuk mendekati Khairani anak dara impiannya, walaupun Khairani itu client syarikat tempat kerjanya.

" Hhhello Cik Khairani, aaartwork dah siap! saya baru sahaja emel kepada Cik Khairani" Suara Azman kelihatan tergagap-gagap. Entah kenapa hari ini Azman terasa macam gabra sedikit . Sebelum ini tidak pernah pula sebegitu.

" Okey Encik Azman, nanti saya tengok!.. kenapa suara Encik Azman macam pelik aja, demam ke hari ini" Cik Khairani menduga.

"Ohh yeaa ke?..tak perasan pulak...entahlah bila dengar suara Cik Khairani...macam gabra sikit"

"Kenapa pulak, selalu okey aja. siap macam nak bergaduh lagi. ingat tak?"

" Itu dulu Cik Khairani...sekarang ni lain!"

"Lain macamana pulak Encik Azman?. Takpa dah tengah hari ni, Cik Azman pergi makan dulu. Nanti eloklah tu!"

"Cik Khairani nak ikut sekali ke?"

"Macamana nak ikut kan kita jauhni, sempat ke?"

"Sempat!  kalau Cik Khairani sudi!"

"Takpalah Encik Azman, lain kalilah ye. Terima Kasih"

"Okey...kalau Cik Khairani datang ke pejabat kami lain kali, bolehlah saya belanja makan!' Ajak Azman serius.

"Okey...terima kasih...janji ya" Jawab Khairani bergurau.

"Janji...betul-betul ni bukan cubaan!" Azman seakan mengajuk kata-kata Pak Mustar dalam filem Pendikar Bujang Lapuk.

" Okey. bye." Cik Khairani meletak ganggang taliponnya. Permulaan yang baik! Bisik Azman.

" Wahh! bukan main lagi kau ayat client tu, boleh dapat ke.! Dulu kau bukan main bengang lagi dengan Cik Khairani tu...hari ini tiba-tiba je berubah! Musykil-musykil! " Suara Karim seakan mencabar Azman.

" Ayat apa benda. Biasalah ambik hati client,  service mau baik beb!

"Sudahlah Man, cara kau cakap aku dah tahu. Aku dah makan garam dulu dari kau tau!" Hujah Karim. Baginya itu berita yang baik! kalau Azman betul-betul syok kat Cik Khairani maknanya peluang dia nak mengorat Julia terbuka luas!.

Azman terasa seperti tembelangnya pecah. Malu dia terhadap Karim. Dia tidak kisah Karim nak kata apa. Sekarang hatinya merasa gembira kerana hajatnya kesampaian. Walaupun pelawaannya bernada seperti bergurau, itu niat sebenarnya. Dirinya terasa yakin untuk mendekati Cik Khairani. Jawapan dari Cik Khairani benar-benar memberinya jalan untuk terus bertindak!...


BAB 5

Julia inginkan kepastian

Petang itu Julia menemani Azman pergi membeli buku disebuah pusat membelibelah terkemuka di Kota Metropolitan Kuala Lumpur. Setelah selesai membeli barangan yang dihajati mereka pergi makan dan minum di sebuah Kafetaria disitu. Kedua pasangan ini memang mendapat perhatian dari orangramai yang berkunjung disitu, ialah seorang pemuda melayu bertemankan seorang gadis mat saleh 'celup'. Bagi Julia dia sudah biasa dengan keadaan itu, dia merasakan sebagai satu keistimewaan yang tidak ada pada gadis lain. Wajah kacukan Pan-Asia yang dianugerahi Allah membuatkan ramai wanita irihati melihat kecantikan wajah semulajadinya. Pada mulanya memang kekok bila orang selalu tertoleh pada mereka, lama-kelamaan menjadi perkara biasa.

"Azman, mama dan papa i teringin mahu jumpa you." Kata Julia perlahan, sambil matanya tepat memandang Azman. Serius benar raut wajah Julia. Dia mengharapkan Azman tidak menolak pelawaan  kedua ibubapanya.

"Kenapa?...i ada buat salah ke?" Hampir tersedak Azman ketika mahu menghirup kopi o ke mulutnya.

"Takda lah!. i selalu cerita pasal you, so mereka suruh i ajak you makan makan di rumah i malam ni."

"Mmmalam ni?" Bukan main terkejut lagi si Azman. Sudah!. mampus aku. Ini mesti nak siasat siapa aku ni. Alahai apa aku nak buat? gerutunya. Tiba-tiba sahaja dia menjadi kecut melecut. Sifat kelakiannya tercabar kali ini.

"I tak beranilah datang jumpa parent you. I takut!" Rayu Azman serius. Julia sedikit ketawa melihat reaksi muka Azman, so cute.

"Apalah you nak takut sangat ni, takda apalah. Mereka nak berkenalan dengan siapa Julia berkawan. Itu saja." Julia seakan mahu meredakan suasana. Tidak sangka bahawa lelaki yang dikenalinya ini mempunyai sifat penakut. Macam perempuan!.

" Malam ni jugak?" Azman inginkan kepastian.

"Yup! " Kata-kata yang penuh pengharapan. Ibunya dirumah agaknya sedang sibuk menyiapkan juadah untuk makan malam nanti, maklumlah ada tetamu istimewa mahu bertandang.

Setiba diperkarangan rumah. Julia mempersilakan Azman masuk ke rumah banglo dua tingkat dipinggir kota. Kediaman nampak sederhana, dihiasi taman dengan bunga-bunga tropika yang agak klasik. sebelah kiri jalan masuk ke kediaman ada kolam renang kecil berbentuk kulit kacang. Sementara sebelah kanan ada taman orkid dan dipadankan dengan pintu gerbang ala bali. Ada pohon kayu berbentuk payung di tepi tembok pagar, udara nyaman suasana agak redup. Banglo mengadap bukit bukau yang dipenuhi tumbuhan hutan.

" Mama inilah Azman!". Julia memperkenalkannya pada ibunya. Puan Rohani tersenyum menyambut tangan anak muda itu dengan mesra. Azman bersalam diikuti mencium tangan.

" Dari rumah ke?. Tanya Puan Rohani. Nampak baik budakni. Berbudi pekerti dan menghormati orang tua. Sejuk mata memandang bisiknya.

" Err tadi pergi ke Pusat Membeli Belah cari buku, lepas makan terus datang ke rumah auntie." Jawab Azman jujur. Hatinya menjadi lega bila melihat sambutan mesra dari Puan Rohana. Jauh dari sangkaannya, selalunya orang kaya ni sombong kalau bersalam mata pandang tempat lain.

" Papa ada mama?

" Ada. Tengah mandi."

" Azman, duduklah dulu, bersembang dengan Julia ya. Auntie ada kerja sikit di dapur." Puan Rohani meminta diri.

" You pergilah tolong mama you di dapur. I okey." Azman menduga.

" Tak apa. Maid tolong mama." Julia membeli alasan. Kalau dia kedapur pun bukan boleh buat kerja. Maid yang buat semua. Kalau dia mahu belajar sesuatu masakan barulah dia kedapur.

" Hello ! Apa khabar?" Tiba-tiba terpacul Encik Malique Middleton Abdullah bapa kandung Julia. Orangnya hansome segak dan bermisai ala Charles Bronson. 

" Baik Uncle!"

" Macamana kerja okey?" Encik Malique memulakan bicara, setelah diperkenalkan oleh Julia. Gaya suaranya tampak serius dan tegas.

" Okeylah uncle, biasalah advertising. Kena kerja kuat dan tahan pressure. Balik tak tentu masa, kadang-kadang kena tidur di pejabat." Azman memberi penerangan. Julia menganggukkan kepala tanda setuju.

" Ohhh...macamana you boleh tahan ya?. kalau uncle hari-hari macam tu boleh pengsan! " Encik Malique buat lawak, Azman dan Julia ketawa sakan. Sungguh fasih dia berbahasa melayu, lidahnya sudah biasa makan belacan agaknya fikir Azman yang mengkagumi uncle Malique berbahasa melayu.

"Apa nak buat uncle. Sendiri yang pilih kerjaya ni. Terimalah!" Jawab Azman pasrah. Dahinya digaru-garu agaknya tanda sedikit kecewa.

"Ya. Masing-masing punya pilihan sendiri melalui bidang yang diminati. Betul? Ujar Encik Malique ringkas.

"Hai! apa yang diborakkan tu? Hidangan sudah siap sedia. Mari kita makan?" Puan Rohani menjemput.

" Abang Adam belum balik mama?" Tanya Julia.

" Abang kamu tu sibuk. Dia sudah berjanji nak jumpa kawannya malam ni. Kalau sempat dia akan baliklah. Dia kirim salam pada Azman." Kata Puan Rohani lagi lalu berjalan menuju ke meja makan.

"Wa'alaikumus salam." Jawab Azman ringkas. Sedikit gugup.

" Mari Azman, jangan malu dan segan. Malam ini auntie kamu masak sedap!" Encik Malique memuji isterinya sambil  menghulurkan tangan mengarah ke meja makan. Puan Rohana menjeling kearah suaminya dan tersenyum simpul.

" Terima kasih uncle". Azman tersipu malu. Berbagai persoalan bermain difikirannya. Keluarga ini tampak gembira dan sempurna langsung  tiada menampakkan cacat celanya, macamana Julia boleh mengadu mengenai keluarganya yang bermasalah?. Adakah mereka berlakon di hadapannya?..Azman buntu seketika. Kebuntuannya hampir terjawab ketikamana maid Encik Malique membawa sebotol minuman yang amat memusykilkannya.

" Okey Azman ini air anggur special dari Perancis! Nak rasa?" Beritahu Encik Malique sambil mengangkat kening menjemput .Tangannya perlahan-lahan menuang air di botol tersebut ke dalam sebiji gelas kaca.

" Papa...!??" Julia seperti mengingatkan ayahnya. Nada seperti tertahan-tahan tapi jelas. Marah benar Julia melihat telatah ayahnya itu.

" Ohh terima kasih uncle saya tidak minum". Agak gugup Azman menolak pelawaan Encik Malique, Kedua telapak tangan diangkat dengan sopan sebagai simbol tidak mahu. Dia merasa serba salah kerana menolak pelawaan Encik Maliqlue namun hukum tetap hukum, yang haram tetap haram. Sebagai penganut islam dia msti teguh dengan pendirian. Setakat ini imannya belum tergoyah.  Pada mulanya dia menyangka minuman itu jenis sparkling iaitu minuman jus anggur. Bila melihat Julia seolah membantah pelawaan ayahnya tadi baru dia sedar itu bukan minuman biasa. Astagfirullahaladzim...terkedu Azman melihat apa yang berlaku di depan matanya.

" Okey okey...sorry Azman...saya ingatkan awak seperti orang melayu yang saya kenal. Kawan -kawan melayu uncle semua minum. Mereka amat sporting." Sambil menghirup air syaitan dalam gelas kaca itu ke mulutnya. Tiada rasa malu atau bersalah. Mungkin sudah menjadi kebiasaan ataupun kebanggaan selari dengan lambang status keluarganya.

" Azman sila tambah lauk tu...Julia ambil dan dekatkan rendang daging tu pada Azman!" Arah Puan Rohani yang cuba mengalihkan suasana yang agak hangat di meja makan. Julia faham dan mengikuti arahan mamanya sambil mata melirik tajam kearah papanya. Dia sedikit malu pada Azman walaupun dia pernah menceritakan padanya mengenai situasi keluarga. Muka  Encik Malique selamba seolah-olah tiada apa yang berlaku.

"Papa, Azman ni bukan seperti kawan-kawan papa tu!. Papa kena hormati kawan Julia!" Tidak tertahan rasa geramnya terhadap Encik Malique iaitu bapa kandungnya.

" Sudah la tu Julia...i okey!" Azman cuba meredakan kemarahan Julia. Dia tidak mahu kedatangannya membawa perbalahan. Lagipun dia tetamu di rumah itu, tidak sedap hati rasanya kalau pergaduhan itu berlanjutan. Sememangnya itu hak Julia untuk menegur bapanya yang kurang sopan itu, tapi jangan di depannya.

"Julia, Tengok Azman okey apa!  Azman tidak kisah apa yang uncle cakap tadi kan?. Encik Malique mengangkat keningnya sekali lagi meminta sokongan dari Azman. Azman tertunduk tersenyum tawar.

"Jom! Azman kita keluar kejap...!!" Julia bangun dan spontan menarik tangan Azman keluar.

"Sssorry uuncle!" Azman teragak-agak untuk mengikuti arahan Julia. Namun digagahi juga bila Julia menarik tangannya dengan kuat. Encik Malique membiarkan Julia membawa Azman keluar dari meja makan tanpa berkata apa-apapun. Cuma dia mengangkat bahunya. Ibunya Puan Rohani terdiam dan menekup muka dengan kedua tangannya. Dia tidak mahu masuk campur dalam pergaduhan kecil anak beranak itu. Tidak kuasa dia mahu menyebelahi mana -mana pihak. Dia sudah lali dengan perangai suaminya.

"Apa you buat ni Julia, tak baik you buat papa you macam tu!. Kecil hatinya nanti!" Nasihat Azman kepada anak gadis itu.

"Jadi apa yang telah papa i buat kat you, kira baiklah?!!" Julia mengherdik.

"Bukan begitu caranya. Dia papa you tau. Walaupun perangainya buruk you kena bersabar. Nasihat dia cara berhemah!. Perubahan tidak boleh berlaku sekelip mata Julia, ia perlukan kesabaran, tekad dan dengan cara lemah lembut!" Azman berhujah. Julia terdiam, benar juga apa yang dikatakan oleh Azman. Mungkin nampak kurang cerdik dia buat begitu pada ayahnya. Sebenarnya dia merasa kurang senang melihat apa yang papanya buat tadi. Papanya telah membuatkan dia malu pada Azman. Dia tidak tahu bila papanya mahu berubah, perbuatan papa memang melampau! langsung tidak menjaga sensitiviti. Bagi papa semua orang sama sahaja. Mahu disalahkan mama pun tidak adil sebab papa adakah ketua keluarga, tapi kalau ketua keluarga pun buat tidak betul dan tidak memberikan contoh terbaik dan tidak memberikan pedoman dan panduan kearah jalan yang lurus kepada anak-anak jadi macamana mahu menjadi ketua keluarga yang baik!. Seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, memanglah tidak menjadi! Seingatnya papa memang jarang bersolat. Solat Jumaat pun sekali-sekala itupun bila kawan-kawan datang menjemput, tapi kalau solat Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha memang tidak tinggal. Pelik-pelik! yang sunat dibuat, yang wajib ditinggalkan!.Kalau mahu diharapkan mama untuk membetulkan perangai  papa memang mustahil. Mama terlalu lembut dan mengikut kata papa. Adam pun lebih kurang seperti papanya, tidak boleh diharap langsung. Kini beban diatas bahunya sendiri, tapi dirinya hanya wanita yang lemah. Mampukah dia menasihati papanya. Rasanya dia tidak mampu..Azman sahaja yang boleh membantu menyelesaikan masalah papanya.

"Cara berhemah tu macamana?" Soal Julia tidak faham.

"Berhemah bermaksud berbudi pekerti mulia, iaitu seperti cakap yang baik-baik, menasihati dengan cara lemah lembut dan berkelakuan sopan. ada faham?"Jawapan yang padu dan mantap dari Azman.

"Faham...tapi macamana nak mulakan?" Julia buntu.

"Mula-mula jumpa papa you. salam dan cium tangan serta minta maaf.  Kemudian you cakap baik-baik pada dia. Sebagai anak tunjukkan contoh yang baik, jangan jadi anak durhaka seperti melawan kata-kata ibubapa, tinggikan suara pada mereka atau yang lebih dasyat memukul mereka Nauzu billahi min zalik!. Apa yang baik jadikan ikutan dan yang tidak baik dijadikan sempadan. Solat jangan tinggal, kemudian doa banyak-banyak supaya papa you berubah."Azman seakan memberikan ceramah.

"You rasa  i boleh buat papa berubah ke?. I tak rasa confident berhadapan dengan hal ni!"

"You boleh buat Julia, percayalah you anak yang baik kan? You pasti boleh! . Tiada yang mustahil dalam dunia ni, yang penting kena berani mencuba. Masalah orang kita sekarang ialah tidak punya keyakinan diri. Takut gagal dan kecewa. Kalau tidak berani mencuba kita tidak tahu hasilnya, so macamana kita boleh kata ianya tidak berjaya!. Orang yang berjaya diluar sana semuanya bermula dari kegagalan! Akhirnya setelah mengulangi kekecewaan, mereka belajar dari kesilapan. Mereka tidak mengenal erti putus asa. Itulah kunci kejayaan!" Azman memberi sedikit motivasi. Kata-kata motivasi yang dikutip dari hasil pembacaannya. Hanya itu yang dia boleh bantu, harapanya semoga terbuka sedikit minda Julia.

" Ini lain Azman, ini hal keluarga melibatkan emosi dan perangai manusia. I kenal semua perangai keluarga. I kenal sangat siapa papa i, ego dan degil!. Mama pun tak boleh buat apa. Inikan pula i hanya seorang anak perempuan!"

" Betul, pucuk pangkalnya you kena berani mencuba! Hubungan keluarga memudahkan urusan lebih lancar, sebab you tahu apa kelemahan dan kelebihan mereka. Gunakan kelemahan itu untuk dipergunakan dalam strategi yang bakal digunakan. "Hujah Azman selanjutnya. Entah dari mana dia dapat idea mengucapan itu. Bunyi seakan ganas macam mau pergi berperang. Ahhh yang penting semangat Julia perlu di tingkatkan supaya dia ada kemahuan dan tekad.

"Cakap memang mudah, tapi untuk melaksanakannya itu yang susah!. "Julia mengeluh.

"You kena berusaha Julia! You nak keluarga bahagia kan?. Niat yang baik dan diselami dengan usaha insyaallah akan berjaya. Allah bersama dengan hamba-hambanya yang takwa kepadaNya."

"Okeylah i cuba!..mari i hantar you balik" Tangannya pantas membuka pintu kereta. Malas Julia mahu memikirkan hal yang memeningkan kepala ini. Dia mahu mencari udara segar di luar dari kawasan rumah untuk memadamkan bahang api yang masih mengelinap disegenap anggota tubuhnya.

"Perut i masih laparlah, tadi makan tak puas, masakan mama you memang sedap!"Azman memuji masakan ibu Julia.

"Hah dah  mula lah tu.  Sorry... lain kali i bawa you datang lagi okey. Sekarang I nak bawa you pergi ke Kopitiam okey? I pun nak makan juga!  Pelawa Julia.

"I tidak kisah, janji halal dan free!"  Azman berseloroh, ditariknya seatbelt disisi tempat duduk penumpang bahagian hadapan sambil tersenyum nakal. Julia membeliakkan biji matanya, comel.

Selepas selesai menjamu selera, Julia membawa Azman pulang semula ke Kondo Permai.



BAB 6

Mencari guru yang mursyid.

Selesai solat isyak, Azman mencari jalan untuk berbual-bual dengan Cikgu Hamid lagi. Banyak lagi hal agama yang ingin dipertanyakan pada Cikgu Hamid merangkap guru agama tidak rasmi baginya. Didalam mencari  dan mendalami ilmu agama ini kita tidak boleh malu bertanya. Kata orang malu bertanya sesat jalan. Pernah dia mendengar cerita dari jemaah surau cikgu Hamid bukan sebarang orang, dia mendapat pendidikan dari Universiti Al Azhar sebelum menjadi guru di sekolah berdekatan di kawasan kondo Permai. Tidak pasti dia mengambil jurusan apa di Universiti tersebut. Tentu banyak ilmu yang bakal dia timba dari Cikgu Hamid ini nanti.

"Assalammualaikum Cikgu Hamid?...Cikgu Hamid free ke malam ni? Boleh kita berbual-bual?" Azman menyapa Cikgu Hamid sambil menghulurkan salam.

"Walaikumussalam. boleh apa salahnya." Cikgu Hamid menyambut salam Azman dengan mesra. Tentu ada benda penting ingin ditanyanya oleh anak muda ini bisik Cikgu Hamid. Mereka mengambil tempat duduk dipenjuru bilik berdekatan dengan pintu keluar surau.

"Macamni Cikgu Hamid. Saya sebenarnya tertarik mahu mempelajari ilmu agama lebih mendalam lagi, saya ada mendengar mengenai Tabliq, Tariqat dan Tasawuf. Ialah macam-macam orang kata mengenai ketiga-tiga ajaran ni, ada pendapat mereka yang positif dan ada juga yang negatif. Itulah nak tanya sikit pada Cikgu Hamid kalau tidak keberatan." Azman inginkan kepastian.

"Sebenarnya Azman ketiga-tiga ajaran yang kau sebutkan itu perlu ada pada jiwa setiap umat Islam. Tabliq bermaksud menyampaikan dakwah Islam, Tasawuf adalah ilmu akhlak mulia yang membawa kepada sifat ihsan, Tarikat pula adalah amalan yang berkesenambungan dari ilmu Tasawuf iaitu amalan dari himpunan zikir tertentu bagi menyucikan jiwa terlebih dahulu di dalam perjalanan untuk mendekatkan  diri kepada Allah." Terang Cikgu Hamid bersungguh-sungguh. Kalau nak diterangkan satu-satu rasanya seribu satu malam pun tak selesai! fikirnya. "Cuma cara pembawaan atau penyampaiannya mungkin sedikit berbeza mengikut golongan atau kelompok mengikut aliran fahaman masing-masing sedangkan pokok atau inti yang menjadi pegangannya tetap satu iaitu melaksanakan tanggungjawab dari hamba kepada Penciptanya, yang paling penting jangan sampai tergelincir dari landasanNya" Terangnya lagi.

"Boleh Cikgu mengajar saya ketiga-tiga ajaran ini? Pinta Azman jujur.

"Boleh, tapi sekadar untuk asasnya tidak menjadi masalah cuma untuk mendalaminya perlu ada ilmu dan kemahuan. Azman, untuk mendalami ilmu kerohanian kena cari guru yang mursyid."

"Mursyid?"

"Guru yang mursyid adalah seorang pakar yang mampu memimpin serta memberi tunjuk ajar dalam membimbing perjalanan rohani murid untuk sampai kepada Allah s.w.t. Mereka menjadi tempat merujuk dan panduan serta boleh memimpin ilmu dan amalan kita. Para mursyid bertanggungjawab bagi mengajar dari sudut zahir dan batin seperti ilmu Syariat, Tariqat, Hakikat dan Makrifat."

"Maknanya sukar untuk mencari guru yang mursyid?"

"Ya benar. Mencari guru mursyid adalah sukar, kerana mencari guru yang memberi ilmu memang ramai seperti guru, ustaz, ulama dan seumpamanya mereka ini di panggil mualim, Tetapi untuk mencari yang mursyid bukan hanya sekadar kealiman atau ketakwaan sahaja tapi perlu dilihat dari mana sumber datangnya ajaran yang mereka amalkan. Walaubagaimanpun dalam mempelajari ilmu agama mesti berguru, carilah beberapa banyak guru kerana lebih ramai guru maka banyaklah ilmu yang akan kita perolehi. Dengan keizinan Allah mungkin ada dikalangan guru-guru kita itu yang mursyid ataupun guru yang berkebolehan untuk memimpin dan membimbing kita. Ada sesetengah orang melakukan solat istiqarah dalam memilih guru, kerana takut dapat guru yang sesat!"

"Mungkin  ada panduannya Cikgu"

"Memang ada, tapi kita disarankan untuk berguru dan terus berguru, supaya kita tidak terjebak berguru dengan syaitan. Sebagai contoh dalam mempelajari ilmu tariqat kerohanian misalannya ada beberapa panduan tertentu untuk mencari guru tariqat mursyid. Dalam ajaran Tarikat selalunya mereka mempunyai susur galur atau salasilah pembawaan ajaran tersebut. Dikatakan mereka seharusnya menyelidiki usul galur atau salah silah Tariqat itu terlebih dahulu dalam menentukan jalan Tariqat itu benar-benar asli dan mempunyai kesenambungan dari satu guru ke satu guru sehingga sampai ke asalnya iaitu dari para sahabat dan Rasulullah. Tetapi panduan asas yang perlu kita lihat adalah ajaran seseorang guru itu mestiah berlandaskan Al-Quran sebagai rujukannya, menggunakan hadis sahih sebagai sandaran dan semestinya dari ahli sunnah wal jamaah sebagai fahamannya dan yang lebih penting guru itu mestilah  adalah dikalangan yang selalu menyuruh yang maaruf dan menjauhi yang munkar." Jelas Cikgu Hamid. Beria benar dia menerangkan bab mencari guru ni, ialah di zaman sekarangni di masa orang berlumba-lumba mencari panduan dan pegangan hidup kadang-kadang terlupa untuk mencari sumber yang betul, akhirnya terjerumus ke jalan yang salah akibat kejahilannya sendiri. fikirnya.












Bersambung...

No comments:

Post a Comment