Monday, January 6, 2014

NOVEL: ANUGERAH IMAN - BAB 1-3


ANUGERAH IMAN
Oleh: BAMBO 
a_bambo@yahoo.com

Bismillahhirrahmannirrahim,
Cerita di dalam novel ini samaada watak, nama atau tempat yang diwujudkan hanyalah rekaan dari imiginasi penulis semata-mata, tidak kena mengena atau melibatkan dengan sesiapapun samaada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Jika ada itu hanyalah secara kebetulan dan tidak disengajakan. Pengolahan cerita yang disajikan adalah hanya sebagai hiburan ringan dan diharapkan dapat memberi pengajaran dan pedoman yang berguna. Sama-samalah kita berdoa semuga kita mendapat rahmat dariNya. Sesungguhnya kebaikan dari Allah SWT jua dan keburukan selalunya dari diri kita sendiri. Hakcipta terpelihara. Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana kandungan cerita ini dalam apa jua bentuk dan dengan apa jua cara sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman atau cara lain sebelum mendapat izin bertulis daripada penulis.


Bab 1

Kuala Lumpur Kota Metropolitan.

Jam sudah menunjukkan pukul 8:30 pagi. Dari awal pagi dia sudah terpacul di Bas Stop. Mana bas ni?. Sempat ke aku sampai ke pejabat. Bas yang datang bertali arus hanya menuju haluan ke tempat lain. Hanya bas bernombor dua tiga dua sahaja yang melalui kawasan di sekitar pejabat tempatnya bekerja. Risau Azman. Takut benar kalau dia terlambat lagi ke pejabat. Semalam Pengarah Seni Encik Yusof  bos studio di pejabat tempat dia berkerja berpesan, hari ini kena datang awal, client nak datang. Ada perbincangan penting katanya.

Bas pulak tak muncul-muncul lagi...aduh!.  Dengusnya dalam hati. Dalam suasana yang membungkam itu, wajahnya tiba-tiba ceria, dilihatnya seorang gadis datang mengambil tempat duduk disebelahnya. Sama seperti Azman menunggu bas. Cuma arah tujuan tidak pasti. Hatinya menjadi sejuk sedikit. Melalui ekor mata dijelingnya gadis itu secara diam-diam.

Cun melecun awek ni. Cepat-cepat Azman memandang tempat lain, bila dia tersedar gadis itu  seakan perasan perbuatannya. Boleh tahan juga. Selama ni tak pernah nampak pun dia. Orang baru dekat kawasan ini agaknya. Azman membuat tekaan dalam hati.

Si gadis buat-buat tidak tahu sahaja bila dia menyedari pemuda disebelah asyik memandangnya. Lelaki sama sahaja baginya. Pantang nampak anak dara berdahi licin sedikit, mulalah hendak menggatal!. Bosan.

Kalau dijadikan bakal isteri aku okey jugak ni. Azman berdoa dalam hati. Hati mana tidak tertawan, hidung mancung bak seludang, pipi bak pauh dilayang, bibir merah bak delima merekah, leher jinjang...eiiii comelnya. Terpegun Azman melihat gadis disebelahnya. Rasa hendak bertegur tapi tidak tahu bagaimana mahu mulakan bicara. Tinggi lampai...putih melepak...bertudung pulak. Azman memuji lagi dalam hati. Astagfirullah aladzim...apa yang aku fikir ni, godaan syaitan ni. Tanda penyesalan tiba tiba muncul di benaknya.

Bas Metro sudahpun sampai, tapi sudah hampir penuh. Cepat cepat Azman menaiki bas, di dalam bas dia sempat menjeling kearah gadis yang dilihatnya tadi. Sewaktu bas itu berlalu Azman terperasan si gadis itu sempat menjeling kearahnya. Manis!

Sampai ke pejabat selepas punchcard, Azman terus ke studio tempat dia membuat kerja. Talipon meja berdering. "Azman kau masuk bilik meeting kejap" Arah Encik Yusof dalam talipon.

"Okey bos"Jawab Azman. "Client dah sampai agaknya" Dia mengagak.

"Kenalkan ini Miss Mei Ling dari Metro Holding" Encik Yusof kenalkan client pada Azman.

"Hi ...Saya Azman" Jawab Azman pendek.. Disambutnya salam tangan client tadi. "Lembut" Azman tersenyum simpul. Biasanya kalau jumpa dengan client kena bersalam tanda perkenalan. Itulah perangai Encik Yusof, kalau client datang atas urusan pengubahsuaian artwork Azman yang dipanggilnya. Senang katanya tidak mahu ada clash information. Kalau ada designer sekali mudah untuk selesaikan kerja.  "Encik Azman ni betul-betul menyusahkan akulah. sepatutnya dia ambik note dari client tu dulu, lepas tu baru explain dekat aku. kan senang...banyak lagi kerja aku kena buat ni...aduyaiiii?. Aku jugak kena mengadap client tu. Nasib baik amoi tu cun..." Gerutu Azman tidak puas hati.

"Azman artwork Johan Corporation untuk keluaran 20 haribulan kau dah hantar ke belum?. Media owner dah tanya tu... nanti kena surcharge  masak kita!" jerit Encik Yusof dari arah biliknya.

"Okey bos ondaway" Azman memberi alasan. Pandai Azman menipu. Tipu sunat kata orang. Mana ada tipu sunat selagi namanya tipu maka berdosalah. Mungkin kalau menjurus kepada kebaikan hukumnya harus. Kalau lurus bendul sangat pun tidak boleh juga. Kebiasaannya jika sebuah iklan sudah mendapat pengesahan dari pelanggan, iklan itu mesti di hantar ke pihak akhbar atau Media Owner untuk disiarkan mengikut jadual yang ditempah. Selalunya penghantaran iklan menggunakan talian atau Online dalam computer. Jimat masa. Itulah kelebihan teknologi canggih masa kini. Kalau dulu menggunakan despatch. Kalau terlambat alamat iklan tidak dapat keluar pada hari yang ditetapkan. Syarikat mendapat malu. Kredibiliti diragui. Silap haribulan pelanggan akan beralih kepada syarikat pengiklanan lain, gigit jari.

"Hai Azman morningyou sudah breakfast?" Sapa Julia Malique Middleton Abdullah lembut, tiba tiba sahaja gadis kacukan inggeris ini terpacul di sisi meja Azman. Graduan Komunikasi dan Media UiTM. Jawatan sebagai copywriter memang kena selalu berdamping dengan designer setiap kali mengendalikan job baru.

"Belum. You nak belanja i sarapan ke?" Azman mula mengusik. Dia suka sangat menyakat anak mat salleh yang lawa dan bergaya ini. Muka kacukan macam Julia ini memang ramai lelaki ingin mendekatinya. Walaupun ibunya keturunan melayu, mukanya  macam mat saleh sebenar. Putih melepak bermata biru cuma rambutnya berwarna keperangan. Kalau di amat-amatinya wajah Julia ini seiras Jodie Foster pelakon The Silent of the lambs. Menggoda iman setiap jejaka yang memandang.

"Boleh jugak, kan pagi semalam you belanja i. Ini giliran i pulak nak belanja you. Jom" Ajak Julia mesra. Julia seorang gadis yang mudah diajak berkawan tapi jinak jinak merpatinya membuatkan ramai pemuda makan hati dengan sikapnya itu.

"Korang tak ajak aku sekali ke?". Karim mencelah. Cemburu betul dia bila melihat Julia mengajak Azman pergi keluar bersarapan. Karim adalah senior designer di tempat Azman berkerja.

"You pergi makan sorang-sorang. I ada benda nak bincang dengan boyfriend i ni. Jangan jealous!" Seloroh Julia memberi alasan. Azman mengerutkan dahi.

"Yelah tu..." Terkedu Karim mendengar jawapan dari Julia. Dia mengharap semoga apa yang dikatakan oleh Julia tidak menjadi kenyataan. Semenjak Julia masuk berkerja, sudah acapkali dia mencuba mendekati gadis manis ini namun tidak berjaya. Dia mengharap suatu hari nanti pasti Julia akan jatuh ke tangannya juga.

"Allahumma baarik lanaa fiima razaqtana waqinaa adzaa ban-naar" Azman berdoa. "Apalagi yang you tengok, makanlah nanti nasi lemak ni sejuk tak kick la" Bentak Azman tanpa menyedari gadis disebelahnya seakan-akan pelik dengan perbuatannya sebentar tadi.

"Kenapa tak makan lagi" Azman ingin tahu dan sengaja tidak mahu ambil tahu. Dia menyuap nasi lemak ayam berempah ke mulutnya. Malam tadi dia cuma makan roti ban kaya sebagai pengalas perut.

"You baca doa apa tadi, boleh tahu?" Julia inginkan kepastian.

"Ohhh.. sorry. patutlah muka you nampak pelik tadi. I baca doa makan. Sunnah Rasullullah. Ambik berkat!" Jelas Azman selamba. Memang Azman sedang berhijrah sekarang ini. Dia ingin membuat perubahan secara perlahan-lahan. Kalau secara mendadak nanti takut tersalah bawa. Sesat jadinya! Nauzu billahi min zalik!

"Okey. seingat i dulu masa kecil nenek ada ajar tapi dah lupa" Jawab Julia ikhlas. "Tentu ada hikmah disebalik membaca doa makan ni ya?" Julia ingin tahu.

"Ada. besar fadilatnya. Nanti i ceritakan pada you. Hemm..Kita kena makan cepat ni, kerja banyak kat studio. Nanti Encik Yusof bising pulak!" Azman memberi ingatan.

"Jangan lupa tau, janji ya? Julia mengharap. Entah kenapa dia merasa selesa sangat kalau berbicara dengan Azman. Baginya Azman mempunyai tarikan tersendiri, merendah diri, tidak ego dan pandai mengambil hati. Azman disifatkannya sebagai motivator kerana Azman banyak memberi nasihat yang berguna padanya. Satu lagi kelebihan Azman ialah dia seorang yang kelakar. Walaupun Azman tidak sekacak Karim, tapi baginya Azman mempunyai karisma tersendiri, matang dan berjiwa romantis. Dia sendiri tidak mengerti tentang sikapnya yang menyenangi Azman. Adakah hatinya sudah terpaut kepada teruna idaman malaya ini. Hanya tuhan yang tahu. Azman yang membuatkannya bersemangat untuk berkerja. Dia sanggup datang awal ke pejabat dan menunggu Azman hanya semata-mata untuk mengajak bersarapan pagi bersama.

Bagi Azman dia amat kasihan melihat Julia terumbang-ambing mencari pedoman hidup. Umur masih remaja ini  memang mudah sangat dipengaruhi oleh keseronokan duniawi. Duduk dikalangan orang berada memang cepat lupa diri. Disaat dikelilingi dengan kemewahan, dapat apa yang diingini sememangnya sangat sukar untuk mengawal diri. Satu bentuk ujian yang amat menyeronokan didunia, sehingga boleh riak, bongkak dan lupa akhirat, mengkianati janji untuk apa kita dihidupkan diatas mukabumi ini. Azman ingin membimbing gadis ini. Dia menganggap Julia lebih dari sahabat. Walaupun terdetik dihati untuk dia memiliki gadis kacukan ini, namun bila dilihat dari kemampuannya diri dia merasa rendah diri. Bak kata orang bagai enggang dengan pipit. Sekadar melihat dari jauh, untuk disentuh tidak sekali. Biarlah dia simpan sahaja isi hati. Untuk diluahkan tidak mungkin.

Azman balik awal. Tiada kerja overtime hari ini. Sedang dia menungu bas. Tiba -tiba sebuah kereta BMW 118i Sport  merah menyala berhenti betul-betul dihadapannya. Azman kenal benar siapa empunya kereta ini, tapi dia buat macam tidak nampak. Tingkap kereta dibuka.

"Azman! naiklah i hantar you balik" Julia mempelawa dari dalam kereta.

"Hiss takpa-takpa you baliklah dulu!" Azman menolak. Orang disekeliling semua memandang Azman. "Buat malu betul si Julia ni, Takan aku nak tumpang naik kereta perempuan, hilanglah maco" bisiknya dalam hati. Sudah kerap kali Julia buat macam ini. Sudah dipesannya jangan hantar dia balik "Tidak faham jugak anak dara ni". Azman mengeluh panjang. Disebabkan malu dengan orang disekelilingnya, Azman masuk juga ke dalam kereta. Julia tersengih melihat telatah Azman yang seperti kebudakan itu.

I nak bawak you pergi makan kat Benteng, teringin nak makan Char Kueh Tiow, boleh?" Rayu Julia.

"Hemm okey lah. Jangan lama-lama tau!" Azman garu kepalanya yang tidak gatal. Julia kalau berborak boleh tahan petahnya. Mahu berjam-jam lamanya. Dia suka bercerita kisah keluarganya dan hal-hal semasa. Tidak larat Azman hendak melayan. Padanya selalu Julia jadikan tempat mengadu. Tidak dilayan nanti merajuk pula. Kalau dilayan sampai pagi pun tidak habis. Letih.

"Kalau you malu nak naik kereta i, nanti time balik you drive okey? Julia memujuk. Macam tahu sahaja isi hati Azman.

"Aiik tak nak lah" Azman menepis.

"Apa salahnya"

"Tak biasa bawak kereta mewah ni, nanti langgar pokok padan muka you"

"You ni kelakar lah" Julia ketawa kecil.

"You ada lesen kan andthan mata you pun terang. Takan pokok pun you tak nampak?"

"Ada. Lesen terbang!." Jawab Azman selamba.

Berdekah-dekah dua merpati sejoli ini ketawa. Saat seperti itulah yang membuatkan Julia senang dengan Azman. Azman menjadi pengubat kesunyiannya.

Julia memilih tempat duduk dihujung sekali,.Pelanggan tidak ramai.Azman hanya mengekori dari belakang macam lembu di cucuk hidung. Seronok dia melihat telatah dan tindak tanduk Julia. Asalkan Julia gembira dan ceria itu sudah cukup baginya. Makanan yang dipesan sudah tiba. 

" Azman..." Suara Julia memulakan bicara.

"Kenapa sayang" Azman berseloroh. 

" Eh you ni, seriouslah sikit!" Julia menjegilkan matanya yang redup. 

" Okey okey teruskan... I dengar ni"

I risaulah pasal papa". Julia terhenti disitu. Air matanya seperti hendak menitis.

"Alamak.. Relax Julia. Bertenang, cuba cakap pelan-pelan. Apa masalahnya? " Azman mencelah. Sifat kelakiannya memang tidak sanggup melihat perempuan bersedih. Itu kelemahannya.

" Malam tadi papa balik mabuk lagi!. Lepastu cakap yang bukan-bukan. I risaulah..." Rintih Julia. Tidak sanggup rasanya dia hendak beritahu segalanya. Malu dia pada Azman. Terasa seperti membuka pekung di dada. Harapannya hanya pada Azman teman rapatnya. Semuga Azman memahami masalah yang bergelodak dalam jiwanya. Dia tak kisah apa Azman akan kata perihal keluargannya .

" Berdoa bebanyak Julia . Mintak pada tuhan semuga  papa you berubah."  

I hope so." Julia mengharap. Terasa lega sedikit bila Azman seakan mengambil berat diatas keluhannya tadi. Suatu hari nanti dia akan menceritakan segalanya pada Azman. Dia nekad.

Situasi mereka yang agak muram itu diganggu oleh kedatangan dua orang yang tidak dikenali. Seorang perempuan di usia awal empat puluhan sambil memimpin seorang pemuda yang bertongkat. Matanya buta!

" Derma untuk orang buta encik" . Katanya seakan merayu. Azman mengeluarkan wang satu ringgit dan diserahkan pada orang buta tersebut." Terima kasih, semuga Allah merahmati saudara" katanya lagi. Pasangan itu terus berlalu dan beralih kemeja pelanggan lain.

" Dorang tu sindiket lah. I ada baca paper. Mereka didalangi oleh seorang ketua yang menunggu hasil kutipan harian. Dengar kata sibuta hanya dapat makan aje, duit kutipan mereka ambik semua!" Jelas Julia yakin. Beriya benar dia menjelaskan pada Azman. Hilang sedikit masalah yang dihadapi sebentar tadi.

" Tahu, I dermapun sebab i ikhlas. Kesihan tengok orang buta tu. " Azman tahu apa yang bermain difikiran Julia. " Kita jangan fikir kemana perginya wang derma tu, yang penting niat kita ikhlas untuk membantu sesama manusia.  Itu  yang dituntut oleh agama. Sikap tolong menolong semakin pudar dan terhakis  dimasa kini disaat manusia semakin rakus mengejar kekayaan didunia. Manusia seakan pentingkan diri sendiri." Terang Azman lembut. Pandai juga aku bagi syarahan bisiknya.

" Terima kasih Ustaz!" Julia berseloroh.

" Hanya itu sahaja tazkirah di petang ini, sekian" Lagak Azman mengajuk kata ucapan para ustaz yang kebiasaannya setelah selesai memberi syarahan agama. Julia ketawa. 

You ada tokoh jadi imam muda lah" Julia mengusik.

" Boleh lah sikit-sikit" Jawab Azman bergurau.

" Kembanglah tu, Hello cik abang jangan perasan sangat!"

" Eh.. Julia dah nak masuk waktu magrib ni. Nanti boleh you hantarkan i kat masjid kejap? I nak solat. " pesan Azman, sambil melihat jam tangannya yang hampir menunjukkan pukul 6:30petang.

No problem, Abang Ustaz" selorohnya lagi. " I nak tanya sikit, solat kat rumah kan boleh?" Tanya Julia cuba memberi cadangan. 

" Solat berjemaah lebih afdal iaitu dapat pahala lebih. Kalau solat sendirian dapat satu darjat sahaja jika dibandingkan berjemaah iaitu dua puluh lima darjat. Mana lebih banyak?. " Soal Azman sambil memberi penerangan. Selamba Azman menjelaskan fadilat solat berjemaah. Semuga ia dapat memberi sedikit ilmu agama pada sahabatnya itu.

" Yelah Pak Ustaz!"  Malu Julia bila mendapat penjelasan yang memberi makna mendalam dari Azman. 

" Pak Ustazlah pulak, tadi Abang Ustaz...nanti entah aper lagi." Jawab Azman. Julia ketawa terbahak-bahak lucu benar dia mendengar kata-kata Azman tadi.

Julia menghantar Azman balik ke Kondonya setelah selesai solat.



BAB 2

Peristiwa Pahit Mengimbau Kembali

Azman bingkas bangun bila tiba tiba jam locengnya berdering. Terkebil-kebil mata Azman menahan mengantuk. Sememangnya sudah di set jam tu pukul 5:30pagi, Solat subuh.  

Alhamdulillahil Ladzi Ahyaana Bad'dama Amaatanaa Wa Ilahin-Nusyuur " Doa bangun tidur. Baru seminggu Azman mengamal doa bangun tidur ini. Dulu memang tidak pernah dia berbuat demikian.
Selesai bersiap Azman terus turun ke bawah. Surau terletak bersebelahan bahagian utiliti berhadapan dengan gym di tingkat bawah sekali.

Sampai dia di surau Kondo Permai. Dilihatnya hanya Cikgu Hamid yang ada. Cikgu Hamid satu-satunya yang selalu menjadi bilal dan imam di surau kecil itu. Apabila dilihatnya Azman datang Cikgu Hamid berdiri dan memberi laluan untuk Azman menjadi imam solat. Azman menolak dengan sopan.

"Boleh qamat?" Cikgu Hamid meminta dengan penuh hormat. Azman mengelengkan kepala tanda tidak tahu. Terasa kecilnya dunia ini bila benda kecil macam itu pun dia tidak boleh buat. Azman tahu baca qamat sebenarnya cuma dia tidak yakin. Selesai solat, Cikgu Hamid meminta diri. Tinggallah Azman keseorangan. Azman mahu menunggu waktu solat isyak masuk.

"Astagfirullah Al adzim, Astagfirullah Al Adzim, Astagfirullah Al Adzim. Ya Allah ampuni lah segala dosa dosaku ya Allah. Kau Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi ."  Azman menyesali diatas segala dosa-dosa yang dilakukan. Dia masih ingat lagi peristiwa itu. Dia akan ingat sampai mati. Tidak sangka sungguh dia dengan Mahmud kawan serumahnya. Tidak habis-habis buat hal.

"Buka pintu! Buka pintu" kedengaran suara agak keras di luar rumah.

" Sapa pulak yang datang malam malam buta ni Mahmud?" Tanya Azman sambil mengerutkan dahi. Tamu tidak diundang itu seperti kurang adab. Suka hati menjerit nak masuk rumah orang.

Muka Mahmud menjadi berubah. Merah padam seperti ada yang tidak kena. " Errr...Entah orang gila agaknya. Man kau tolong bukak pintu. Aku cover kau dari belakang" Suara Mahmud seakan tersekat sekat. Kemudian dia masuk kebiliknya dan cepat-cepat keluar.

"Bukak pintu ni" Suara itu lagi keras diikuti dengan ketukan yang mengegar rumah.

Dengan perasaan yang penuh debaran dan tandatanya Azman terus membuka pintu. Tiga orang berbadan tegap memakai bag selindang bermuka bengis meluru masuk.

"Kami ada waran geledah rumah awak. Kami polis dari cawangan narkotik Bukit Aman. Rumah kamu disyaki  ada menyimpan dadah!. Salah seorang dari mereka mengenalkan diri. "Tolong bagi kerjasama!" Sambungnya lagi. Setiap sudut rumah digeledah. Bag dibuka, Almari diselongkar. Azman sempat menjeling pada Mahmud. Mahmud yang hanya berkain pelikat terdiam disudut meja makan. Jelas dia nampak ketakutan.

Setiap bilik diperiksa, termasuk bilik Azman. Azman mula rasa tidak selesa badannya dirasakan mengeletar sampai ke lutut. Nampaknya dia merasa cemas. Dia mula fikir yang bukan-bukan. dia takut teraniaya. Salah seorang polis masuk ke bilik air bahagian dapur untuk diperiksa namun hampa barang yang dicari tidak dijumpai. Setelah hampir setengah jam menggelidah segenap ruang, salah seorang daripada polis tersebut memberi isyarat geleng kepala kepada rakan mereka yang memakai jaket biru. Mereka nampak seperti tidak puas hati. Kain Mahmud kelihatan basah dan lenjun. Dia terkencing dalam kain rupanya.

"Tok sssaya nnak ke tandasss". Mahmud minta izin dari salah seorang daripada polis yang memakai jaket biru. "Hah pergilah..." Polis memberi izin. Mahmud dengan pantas terus ke bilik air di dapur. Selang dua minit  dia keluar. Polis yang tidak puas hati terus menyelongkar kembali ditempat yang difikirnya ada dadah. Badan Azman dan Mahmud juga diperiksa mana tahu ada terselit dimana-mana. Setelah tidak berhasil menemui dadah yang dicari, mereka terus keluar tanpa berkata apa-apa. Mungkin kecewa dan merasa malu.

Azman terduduk. Peluh membasahi seluruh badan. Mahmud terus masuk tandas semula. Dia membuka mangkuk tandas dan menyeluk tangan kedalam lubang mangkuk tandas dan mengeluarkan sebungkus plastik berisi seakan pil berwarna merah. Dia keluar dengan wajah yang serius.

" Puhhh... Selamat. ". Mahmud menunjukkan bungkusan plastik itu pada Azman tanpa rasa bersalah pun.

" Kau gila Mahmud! . Kau nak mampus! " Tempik Azman. Kau tahu tak kalau polis jumpa barang kau tu!. Kita kena hukum gantung. Tak pasal-pasal aku terbabit!." Azman mula naik angin. Perangai Mahmud amat dikesalinya. Tidak pernah serik dengan apa yang berlaku.

Relax la bro! Sorry aku tak sangka polis nak raid rumah kita. Barang ni kawan aku punya, Dia suruh aku simpan. Esok aku kena bagi dia balik!" Mahmud cuba menutup cerita sebenar. Masak benar dia dengan perangai Azman kalau marah memang tidak henti membebel silap haribulan boleh bergaduh bertumbuk. Dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Hati keringnya langsung tidak mengambil iktibar dengan apa yang sudah berlaku sebentar tadi. Baginya berani buat berani tanggung. Tektik terkencing dalam kain memang sengaja dilakukannya supaya dia ada alasan untuk membuang barang di dalam gulungan kain pelikatnya ke mangkuk tandas tanpa dikesan. Mungkin nasibnya baik malam ini kalau tidak dia akan rugi besar dengan pil ecstasy yang bernilai ribuan ringgit itu.

"Relax kau cakap! Terus terang aku memang takut dan aku sayangkan nyawa aku. Mahmud tolonglah . Kau pergi simpan benda tu kat tempat lain! Aku tak nak terbabit. Selagi benda tu ada kat rumah ni, aku yakin polis tu akan datang balik. " Rayu Azman serius. Mahmud mula garu kepala. Betul juga kata kawan baik sekampungnya itu. Dia memang menghormati Azman. Walaupun dia terlibat dalam aktiviti najis dadah, tidak pernah sekali dia mempengaruhi Azman untuk mencuba apalagi untuk merasainya.

"Okey okey...kau jangan risau kejap lagi aku nak keluar jumpa member aku kat luar." Mahmud cuba meyakinkan Azman. Azman merasa lega sedikit. Degup jantungnya masih gebebak gedebuk laju. Perasaan gementar masih belum reda.  Dia merasakan bagai seperti mati hidup semula.

"Man apa yang dimenungkan tu. Waktu solat isyak dah nak masuk ni." Tiba-tiba azman dikejutkan oleh kedatangan Cikgu Hamid. Azman hanya tersipu-sipu malu.

Selesai solat isyak Cikgu Hamid menghampiri Azman. Dia seakan tahu Azman mempunyai masalah, mungkin Azman sudi untuk berkongsi masalah dengannya. Sekurang-kurangnya boleh dia membantu serba sedikit. Pada awalnya Azman agak keberatan, tapi digagahi juga untuk meluahkan isihatinya. Mungkin nanti dia dapat sedikit ilmu agama dari Cikgu Hamid.

"Cikgu macamana kita nak dekatkan diri kepada Allah ?." Bicaranya agak tersekat-sekat tapi penuh dengan makna tersirat. Kemudian kepalanya menunduk kebawah.

Cikgu Hamid tersenyum lalu menepuk bahu Azman yang sedikit membongkok.

"Azman, Saya bukanlah seorang yang layak untuk memberi nasihat dan pedoman. Saya juga seperti kamu seseorang yang sedang belajar tentang ilmu agama. Tetapi kalau sekadar memberi sedikit ilmu apa salahnya untuk berkongsi bersama. Sebenarnya apa yang Azman buat sekarang ini adalah langkah permulaan yang amat tepat sekali. Selalulah bersolat berjemaah, perbanyakkan membaca Al-Quran, bersedekah dan selalu berzikir mengingatiNya nescaya kita mendapat rahmat yang besar dari Allah. Sebenarnya apabila kita mula sedar diatas kesilapan yang dilakukan dimasa lalu dan kita bertaubat meminta ampun kepadaNya itulah saatnya kita mula dekat pada Allah Maha Pencipta.Bila kita beristigfar Allah akan membuka hijabnya insha Allah. Kerana bila kita melakukan dosa dengan tidak mengikut segala perintahNya maka dikatakan ulama Allah akan menutup hijab antara kita denganNya, Allah murka kepada umatnya yang lalai dan lupa kepadaNya.  Janganlah kita membuat ibadah semata-mata untuk menunjuk kepada orang. Niat biar ikhlas. Selalulah hadir dimajlis ilmu, kerana keimanan kita perlu dibajai selalu. Jiwa kita perlu diperingatkan tentang mati, azab kubur, hari kiamat dan dosa neraka supaya kita tidak lupa dan lalai seterusnya kita terhindar dari sifat was-was dan tidak  mudah diperdayakan oleh syaitan. Nauzu billahi min zalik!" Panjang lebar dia menerangkan. Azman mengangguk tanda faham.

"Hendaklah kita  mengamalkan amar makruf nahi munkar iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada berbuat kejahatan!. Satu lagi kita perlu ada sifat ihsan dan Qanaah" Sambungnya lagi bila dilihatnya Azman seperti tidak mengerti. Seperti pernah mendengar perkataan keramat itu di kaca televisyen.

Ihsan adalah sentiasa berbuat baik sesama manusia dan Qanaah adalah bersyukur dengan apa yang ada. Beryukur dengan apa yang ada bukanlah bererti kita berhenti berusaha! itu malas kata orang , Qanaah membawa maksud supaya kita tidak tamak dalam mengejar harta dunia. Sentiasa cukup dengan apa yang ada dan pada masa yang sama sentiasa redha dengan ketentuan Allah serta bersangka baik terhadapNya. Bersyukur bila diberi nikmat dan redha bila diuji dengan kesusahan. Hidup sentiasa kreatif supaya kita dapat sesuaikan diri dalam keadaan apa sekalipun. Bukannya menyerahkan diri bulat-bulat pada Allah ".

" Hidup sentiasa kreatif?." Azman seakan kurang faham.

" Ya betul. kreatif. Maknanya ada pelan perancangan atau alternatif lain dalam kita menempuh ujian dari Allah. Contohnya dulu kita mewah bergaji besar tiba-tiba diberhentikan kerja, kita cuba cari kerja lain tapi tidak berjaya, oleh kerana kita ada ilmu bertukang maka kita buat pula kerja bertukang walaupun pendapatan kecil tapi kita ada usaha jadi tidaklah meminta-minta". Jawapan yang padat dan penuh pengertian.

"Satu lagi Azman jika sifat Qanaah sebati dalam hidup, dia adalah orang yang paling kaya dalam ertikata sebenarnya. Lebih kaya dari Bill Gates!. Insan yang ada sifat Qanaah jiwanya menjadi lebih tenang dan gembira hidup didunia ini lebih-lebih lagi di akhirat kelak. Mereka sentiasa merasa cukup dengan apa yang ada. Tiada rasa bimbang atau keresahan. Yang penting tidak takut jatuh miskin atau susah, kerana mereka yakin Allah senantiasa menjaga dan memeliharanya. Bersedekah jangan lupa. Kerana bersedekah tidak akan mengurangi harta, sebaliknya Allah akan melipatgandakan dari harta yang disedekahkan. Orang kafirpun percaya bahawa setiap pemberian atau sumbangan akan membawa pulangan yang besar. Itu sebab jutawan dan bilionair berlumba-lumba mewujudkan badan badan berasaskan kebajikan atau dana khas untuk membantu orang yang memerlukan. Mereka bertambah kaya raya, akan tetapi oleh kerana mereka kafir maka mereka hanya dijadikan Allah sebagai ujian untuk orang mukmim. Sedangkan orang islam kekayaan dikurniakan sebagai dugaan untuk dirinya samaada dia taat atau lalai kepada Allah.

"Biarkan lidah kita selalu basah dengan amalan berzikir dan beristigfar. Rajinkan diri bangun malam dan lakukan solat witir, solat taubat dan solat tahajud, insha-Allah kita akan menjadi seorang muslimin yang beramal soleh dan bertakwa." Ujarnya bersungguh-sungguh.

" Azman apa yang saya perkatakan tadi adalah untuk mengingati diri saya sendiri. Semuga ianya sedikit sebanyak boleh dijadikan pedoman, jika ada terkasar bahasa atau menyinggung perasaan mohon dimaafkan. Assalammualaikum." Cikgu Hamid meminta diri. Azman amat bersyukur, Kata-kata cikgu Hamid tadi banyak menyedarkannya. Peristiwa pahit yang menimpanya benar-benar memberi keinsafan. Allah telah menyelamatkan dirinya. Kalau tidak entah apa nasib dia sekarang. Agaknya sudah masuk ke penjara menunggu mati ditali gantung. Mungkin disaat itu dia sedang diazab di alam barzah. Rintitan dari peristiwa itu membuatkan dia sedar. Betapa kerdilnya dia di sisi Allah. Selama ini dia jahil dalam bab agama. Solat selalu dia tinggalkan. Puasa pun tidak pernah penuh sebulan. Dia tidak mahu diazab, dia tidak mahu masuk neraka yang apinya panas menyala-nyala. Sebelum mati dia bertekad mahu membuat bekalan akhirat sebanyak mungkin.

Sampai di rumah Azman tidak dapat melelapkan mata walau sepicingpun. Bermacam benda bermain difikirannya mengiring ke kiri tidak kena mengiring kekanan pun tidak kena. Diluar deruan bunyi injin kereta menderu sambung menyambung akhirnya dia terlelap.

Sejak dari sekolah lagi Mahmud memang terkenal dengan kenakalannya. Dia seorang yang sangat licik sehinggakan guru displin tidak dapat mengesan setiap kesalahan yang dilakukannya. Walaupun begitu pelajaran tidak pernah diabaikan. Tuah ayam nampak dikaki tuah manusia siapa yang tahu, dia berjaya juga menjejaki kaki ke menara gading.

Azman masih tidak faham kenapa Mahmud masih belum mahu berubah.  Sifat kenakalannya terbawa-bawa sehingga ke alam pekerjaan. Dia masih terpana dengan keseronokan duniawi. Terleka dengan kemewahan harta benda khayal dengan gaya hidup yang tidak sihat. Peliknya dia masih mahu duduk serumah dengannya. Anehnya dia tidak pernah marah apabila Azman menegurnya hanya tersengeh dan cepat-cepat menhindarkan diri mungkin dia tidak mahu menghangatkan lagi suasana. Baginya Azman seperti abangnya sendiri. Mahmud merasa selamat duduk bersama Azman. Kalau dia serumah dengan kawan sekaki dengannya, risiko yang bakal dihadapi lebih tinggi. Dia perlukan tempat yang selamat supaya kegiatannya tidak dapat dihidu. Tapi sangkaannya salah dia telah mengheret kawan baiknya ke dunia gelap. Kedatangan anggota polis anti narkotik pada hari itu telah mengubah perpeksinya. Dia sedar sekarang langkah perlu berhati-hati, kegiatannya sedang diawasi sekarang.

Untuk mencari tempat atau port baru tidak mungkin! kecuali kalau dia terdesak. Bukan niatnya untuk menganiaya Azman, cuma dia selesa duduk sebumbung dengannya. Azman adalah sahabat dunia akhirat. Walaupun Azman tidak sealim ustaz tapi dia seorang yang baik budi pekerti dan tempatnya untuk meminta pendapat  atau buah fikiran. Tapi sejak kebelakangan ini dia melihat Azman sudah berubah. Berubah menjadi insan yang lebih baik dari dahulu. Rajin bersolat  rajin mengaji . Selalu juga Azman mengajaknya pergi bersolat berjemaah namun ditolaknya secara sopan. Belum datang seru bisiknya. Seru apalagi bukannya dia duduk dipulau terpencil yang tiada kedengaran suara azan. Setiap waktu dia terdengar azan, dirumah, dipejabat malah ketika dia buat overtime pun dia masih terdengar suara azan. Mungkin hatinya sudah ditutup dek bergelumang dosa selama ini. Dia perlukan bantuan, bantuan kecemasan seperti orang yang tiba-tiba sakit jantung yang perlu di hantar ke hospital segera dengan van ambulan. Hatinya perlu dirawat hijab antaranya dengan Allah perlu dibuka supaya dia kembali kepangkal jalan, jalan yang diredhai Allah.

Mahmud tidak perlukan Azman untuk mengubah nasibnya. Dia tidak boleh bergantung pada Azman dia perlu bergantung pada tuhan pencipta alam iaitu Allah yang Maha Berkuasa. Mahmud perlu berhijrah seperti Azman. Berhijrah perlu ada tekad dan semangat. Bila punya semangat kena buat  bersungguh-sungguh bukannya hangat-hangat taik ayam Amalan kena istiqamah dan ikhlas kerana Allah iaitu secara konsistan barulah ada jalan untuk menuju  perubahan. Perubahan yang membawa berkah dunia dan akhirat.

"Mahmud jom pergi solat, waktu zohor sudah nak masukni? Ajak Azman. Kebetulan hari ahad mereka berdua duduk dirumah sahaja tanpa ada urusan mahu pergi kemana-mana.

" Kau pergilah dulu nanti aku ikut kemudian." Tangannya menggentel talipon bimbit, entah apa yang dipicitnya dia tidak tahu. Takut Azman tersinggung.

"Marilah..kita pergi sekali, bukan lama pun 20minit jer. Nah pakai kain ni" Arah Azman seperti ayah menguruh anaknya bersolat.

Lemah gemalai Mahmud bangun dari sofa terus mencapai kain pelikat yang diberi oleh Azman. Mereka berdua terus menuju ke surau Kondo Permai. Permulaan yang baik untuk Mus, bisik Azman.

"Macam tu lah Mahmud, buat amal jangan terpaksa. Biar niat tu ikhlas baru dapat pahala!" Azman tersenyum sambil menjelingkan mata kepada Mahmud. Mahmud mengerutkan dahi sambil kedua matanya diangkat keatas tanda tidak endah. Semuga Allah membuka hati Mahmud untuk berubah, bisik Azman berdoa didalam hati.



BAB 3

Di pejabat agensi pengiklanan A&G Advertising.

 Suasana di pejabat Pengiklanan A&G Advertising seperti biasa, penuh dengan berbagai karenah dan
telatah pekerja yang tidak mahu kalah dalam perjuangan mencari dunia rezeki. Masing-masing mempunyai kepakaran tertentu dan saling bekerjasama untuk memastikan setiap yang dirancang mencapai tujuan. Tidak ada pengecualian dalam setiap perancangan yang ingin diatur segalanya mesti beres mengikut jadual. Semua benda yang dilakukan mesti cepat dan pantas. Hasil mesti hebat dan yang paling penting mendapat pengesahan.

"Eh kenapa ni! termenung manjang. Jangan tenung computer tu nanti tembus baru tau!" Tiba-tiba sahaja Julia muncul di sisi Azman tanpa memberi salam. Terkejut Azman terhenti dia dari lamunan. Dia tidak mengerti apa yang difikirkan.

"Errr.. tak ada apa-apa. Tengah fikir idea ni!" Tangannya cuba menaip sesuatu, menutup malu.

"Eleh rindu kat buah hati lah tu?" Julia meneka sambil menjeling.

" Mana ada buah hati, siapalah nakkan aku ni"

"Tahu takpe. Ni Bodycopy untuk MBSB Annualreport dah siap, semua ada dalam tumbdrive ni. Kalau you tak faham nanti i explain!. Jangan asyik berangan je." Jelas Julia serius.

" Baik Mak Joyah!." Usik Azman sambil menjulingkan mata. Julia mengetap bibir tanda geram.

Pagi ini sahaja sudah dua kali Azman membuat pembetulan pada iklan sebuah syarikat perabut terkenal di Kuala Lumpur. Mula-mula katanya salah letak gambar perabut, kemudian salah letak harga. Kali ini mereka mula merepek disangkanya Azman tersalah letak nama produk. Eh! mana boleh jadi ni...dorang nak mainkan aku ke?  Azman tidak puas hati. Rasanya dia hendak menjerit sekuat hati biar hilang segala kemarahannya. Setiap kali mengendalikan job Nusantara Furniture Sdn Bhd pasti ada masalah.

" Cerewet betullah client ni! Haritu dia kata design aku budak sekolah pun boleh buat! Pantang tuk nenek aku bila orang hina aku macam ni. Profesional lah sikit, kalau nak komen pun beralaslah ini tidak, tak sayang mulut betul!." Terkeluar juga amarahnya yang mencengkam hati. Karim rakan sepejabat yang duduk dibelakang Azman ketawa seakan mencabarnya.

" Aku dah kata, client ni mental sikit. agaknya sales tak masyuk itu sebab dia lepaskan geram pada kau. nasib-nasib. Inilah nasib kita sebagai designer di luah mati emak di telan mati bapak!. Kita tersepit ditengah-tengah. Terima sajalah." Keluh Karim.

"Semalam dalam talipon aku dah nak bergaduh dengan client tu!. Dia kata salah aku tak dengar cakap. Padahal dia yang bagi arahan berbelit-belit. Kejap nak macam ini, kejap nak macam itu. Pening aku!"

"The Client is always right."Selamba jawapan Karim. Bagai api dicurahkan minyak.

"Masalahnya perempuan tu ambik kesempatan, mentang-mentang dia bayar kita banyak songeh lah pulak!." Sambil bangun dan terus masuk bilik air. Ambil air sembahyang. Rasullullah berpesan kalau tengah marah dinasihatkan ambik air sembahyang kerana api kemarahan yang dinyalakan oleh syaitan boleh dipadamkan dengan mengambil wuduk. Selesai mengambil wuduk Azman terasa seakan mendapat semangat baru, lebih segar dan berkeyakinan.

Baru sahaja Azman melabuhkan punggung ke kerusi tiba-tiba terdengar namanya dipanggil masuk ke bilik Encik Yusof. Sebagai Pengarah Kreatif,  Encik Yusof akan menerima setiap projek baru dari Account Servising. Setiap projek akan dinilai dan dikaji serta dibuat perancangan media yang sesuai untuk di siarkan di surat khabar. Encik Yusof akan memberi buah fikiran atau idea yang bersesuaian dengan jenis produk yang ingin di iklankan. Brain Storming akan di buat bersama-sama antara Account Servising, Creative Director, Art Director, Copywriter dan Designer untuk mendapatkan cadangan  idea-idea yang bernas dan mengancam untuk di nilai oleh pelanggan atau client. Disinilah cabaran-cabaran dan tekanan timbul dalam mencari solusi penjenamaan. Agensi pengiklanan dilantik sebagai penasihat untuk membantu jualan produk yang dikeluarkan oleh pelanggan. Segala kerja-kerja studio akan dipantau dengan teliti supaya tiada kesilapan berlaku. Dia bertanggungjawab pada setiap kerja-kerja yang diuruskannya, setiap permasalahan perlu ditangani dengan adil dan saksama.

" Baru sebentar Cik Khairani dari syarikat Nusantara Furniture call, dia nak design baru!" Perlahan nada Encik Yusof bagaikan dia tahu apa permasalahan yang berlaku.

"What!!!." Azman separuh menjerit dan mengurut dahinya sambil kepalanya di sandarkan ke kerusi.

" Aku tahu client ni banyak buat problem pada syarikat kita. Tapi kau kena ingat iklan fullpage fullcolor yang disiarkan seminggu dua kali amat berharga buat syarikat ni." Jelas Encik Yusof perlahan. "Isnin depan dia nak jumpa kau di pejabatnya dengan aku sekali. Dia nak jelaskan apa yang dia mahu."Sambungnya lagi.

"Nak buat macam maner. Kerja." Rungutnya sambil menghembus nafas. Encik Yusof tersenyum. Kasihan dia melihat anak buahnya bertungkus-lumus melunaskan kerja tidak mengira waktu. Kerja tetap kerja. Tanggungjawab mesti di bereskan. Kawannya pernah berkata kalau tidak balik sampai pagi bukan dinamakan advertising! . Hai entahlah macamana aku boleh terjebak dalam kerjaya yang bermula dari hobi ni rungut Azman.

Pada waktu makan tengah hari Azman mengajak Julia lunch di tempat yang jauh sedikit dari tempat biasa. Sebuah gerai yang terkenal di Petaling Jaya. Kedai bawah pokok nama gerai tersebut.

" Minggu depan balik kampung!." Sambil menyuap nasi ke dalam mulut.

"Hemm i nak ikut boleh?. Julia merayu. Menyesal pula Azman memberitahunya mengenai rancangan balik kampung.

" Apa mak i cakap nanti. Bawak perempuan balik kampung tak manis la! Dua hari pulak tu. Habis nanti you nak tidur kat mana?. Hisss tak payah ikutlah."

" Apa pulak tak manis, you kan ada adik perempuan. I tidur dengan dialah." Cadangan yang memeningkan kepala Azman. Adiknya Hanis bukan boleh dibuat berunding.

"Please!. I tak ada kampung. Kuala Lumpur ni lah kampung I . Boring la. Sekurang-kurangnya i boleh tengok hutan, sungai, air terjun, burung, ayam, itik, lembu, kambing...."

"Opppp stop!...tak payah nak merepek. bincang dengan mak dan adik dulu. Kalau mereka okey, i beritahu. Puashati?" Tidak tahu bagaimana Azman mahu beritahu ibunya. Kehadiran Julia nanti, alamat kecohlah satu kampung.

Balik dari makan tengahari, di pejabat Encik Yusof memperingatkan tentang temujanji mereka dengan Cik Khairani esok. Amat penting katanya, jangan ambik MC pulak tegasnya lagi.

Khairani sudah dua tahun bekerja di Nusantara Furniture Sdn Bhd. Seorang wanita berjiwa kental, tegas dan serius. Bekerja dengannya tidak boleh dibuat  sambil lewa. Dia sangat komited dengan tugasan yang diberikan. Majikannya Encik Murad sangat bangga memiliki pekerja yang bertanggungjawab seperti Khairani. Pekerja harapan kata orang! teman sekerjanya mengelarnya anak emas Encik Murad!. Khairani tidak kesah apa orang kata, yang penting kerja kena buat bersungguh-sungguh, kena ikhlas, jujur dan amanah! itu yang dituntut dalam Islam. Kalau nak rezeki halal tidak boleh curi tulang, malas atau banyak cakap daripada buat kerja. Cakap mesti serupa bikin. Kalau kerja dengan ikhlas dan amanah insha-Allah kita mendapat rezeki yang berkat dan seterusnya mendapat keredhaan dari Allah.

Walaupun Khairani sukses dalam kerjaya tetapi hidupnya dipenuhi warna-warna kehidupan. Hidup tidak selalunya indah. Kadang langit cerah dan adakalanya mendung.

" Semalam Rejab datang tanyakan kau?" Beritahu Zainab ibu Khairani.

" Apa mak jawab? Khairani kenal benar dengan duda anak dua itu. Ibunya memang berkenan betul dengan orang tua itu. Entah berapa kali dia ingin mengajaknya keluar, tapi hati belum terbuka lagi untuk lelaki yang hampir sebaya dengan bapanya itu.

"Mak cakap kau sibuk. Terima saja lah Ani. Emak kenal benar dengan si Rejab tu. Orangnya baik, berbudi bahasa, tahu agama dan ada kedudukan. Kalau kau kahwin dengannya senang hidup kau. Tak payah balik kerja sampai malam. Mak risau tengok kau! " Itulah harapan Zainab. Anak tunggalnya itulah yang menjadi intan payung dalam hidupnya. Dia risau benar dengan dunia perkahwinan di zaman serba canggih ini. Kahwin cerai sudah menjadi lumrah!. Macam makan kuaci!

" Dia bagi hadiah untuk kau. Pergilah ambik atas meja tu!" Perlahan nadanya. Penuh pengharapan. Siapa yang tidak mahu melihat anaknya bahagia.

" Alahai mak. boleh tak dia hentikan hantar hadiah tu! kita tak sukalah mak. Hadiah haritu pun Ani tak buka lagi. Ani rimaslah mak!. "

"Orang dah bagi  ambik ajelah... rezeki" Ibunya memujuk. Nada selamba tanpa mahu memahami keadaan yang menghantui jiwa anak dara tunggalnya itu.  Dia tahu anaknya memang tidak suka si Rejab tu. Perbezaan umur yang menjadi penghalang. Tapi dia tetap sabar. Setiap solat dia berdoa kepada Allah semuga Allah membuka hati Khairani untuk Rejab. Doa ibu selalunya mustajab. Dia kenal benar sikap anaknya itu. Kalau dah putih maka putihlah. Ibunya tetap berusaha. Bagai menarik benang didalam tepung. Benang tidak putus tepung tidak berkecai.  Kata orang tua-tua, ibarat batu kalau di titiskan air lama-lama akan jadi lekuk juga. Aku akan terus memujuknya, Aku takan berputus asa. Demi anakku yang aku kandungkan selama sembilan bulan. Aku akan terus berusaha walau dengan apa sekalipun. Zainab terlalu yakin pada pilihannya. Untuk kebahagian Ani, dia tidak kisah apa kata orang!. Biarlah orang kata dia kolot, tidak mengikut peredaran zaman kononnya. Ahh persetankan itu semua. Yang penting anaknya bahagia, senang lenang.

" Bukan pasal rezeki Mak. Mak tahukan hati Ani macamana?. Tak mungkin Mak. Tolong lah Mak. Ani tak sanggup " Tersekat-sekat kata-kata yang keluar seolah merayu supaya mendapat simpati. Dia mengharapkan ibunya memahami keadaanya. Hasrat ibu tersayang amat membingungkannya. Dia tidak sanggup melukakan hati ibu namun pada masa yang sama hatinya juga perlu dijaga.Dia malu bersuamikan orang tua. Nanti apa kawan-kawan kata. Macam sudah tak ada terunakah di Malaysia kini. Sangkaan negatif itulah yang selalu bermain difikirannya. Memang ada anak dara yang berkahwin dengan orang yang lebih umur, tapi itu orang lain. Dia menganggap Rejab itu seperti bapanya. Tidak dapat dibayangkan bagaimana berdampingan dengan suami yang sebaya dengan bapanya. Ya Allah tolonglah hambamu ini. Aku tidak mahu di gelar anak derhaka!

" Orang berbudi kita berbahasa. Orang memberi kita merasa." Zainab terus memujuk. Dia tahu Khairani tidak boleh dipaksa. Zaman sekarang mana ada kahwin paksa. Masing-masing sudah pandai mengatur sendiri tanpa pengetahuan keluarga. Itu yang dia takuti. Dia takut anaknya tersalah pilih jodoh. Memang jodoh, mati dan rezeki ditangan tuhan, tapi kita kena berusaha!. Berusaha mencari yang terbaik!. Budak sekarangni kalau bercinta tak ingat dunia akhirat, ikut seronok aja. Kalau tersilap langkah belum kahwin sudah terlanjur. Takut benar dia bila membaca surat khabar berapa banyak berita orang membuang anak. Sudah macam buang tisu aja. Dia takut Khairani terperangkap dan dipermainkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Simpang malaikat empat puluh empat!.

" Hai tak tahu lah mak, Ani taknak fikir benda tu sekarang. Ani pun sekarangni dah pening dengan kerja di pejabat. Di rumah ada masalah lain pulak. Minta maaf Ani dah mengantuk ni, nak pergi tidur. Selamat malam Mak" Khairani meninggalkan ibunya yang beria-ria benar mahu berbincang mengenai rancangannya. Biarkan ibunya terus berangan.

" Ehh Ani...Mak tak abis cakap lagi ni! Esok si Rejab nak ajak kamuuu..Eh budakni.. bertuah betul!. " Gerutunya. Macamni lah budak sekarang, tidak boleh bawa berunding langsung!. Kalaulah anaknya tidak setuju, bagaimana nak berhadapan dengan si Rejab tu. Tidak sanggup rasanya mahu menghampakan harapan orang.  Zainab tetap mengharap agar anaknya tidak menghampakanya. Khairani anak yang baik, tentu dia tidak kecewakan niat aku. Malam terus melabuhkan tirainya. Akhirnya sang ibu tertidur dengan membawa mimpi-mimpi yang indah, mimpi yang akan menjadi kenyataan sebelum dia menutup mata untuk kali terakhir!

Permai Kondominium.

Pagi-pagi lagi Julia sudah tercegat di lapangan letak kereta  Kondo Permai. Tidak sabar rasanya ingin pergi balik ikut Azman.

" Azman i dah sampai di bawahni. You dah siap ke belum? Naik atas boleh? " Julia buat perangai gila.

" Jangan nak mengada. You tunggu bawah, Kejap lagi I turun!.

Julia ketawa kecil. Sengaja dia buat kamjat bagi Azman cepat sikit. Kalau ikutkan perancangan awal Azman, mereka naik bas. Julia beria benar menawarkan keretanya. Naik bas leceh sikit. Hendak pergi stesyen bas satu hal, beli tiket satu hal. Nanti hendak buang air macamana?. Takan nak suruh driver bas tu berhenti sesuka hati. Naik kereta lagi senang boleh berhenti dimana-mana yang disukai. Itulah Julia tidak mahu bersusah-susah, kemudahan sudah ada kenapa perlu mengambil jalan yang sukar. Berjimat...hemm bukannya selalu balik kampung. Sebulan atau dua bulan sekali. Tidak berbaloi untuk berjimat, fikirnya.

Azman terpaksa mengalah lagi pada anak dara keturunan mat saleh ni. Itu adalah kelemahannya. Sememangnya Allah mencipta wanita dengan sifat yang unik. Dengan kelembutan gerak dan bahasa sahaja sudah mampu mencairkan hati lelaki . Sebab itu syaitan mempergunakan wanita untuk menggoda kaum adam, wanita adalah senjata paling ampuh untuk menggoncang iman!. Wanita ibarat panah syaitan, itu kata ulama.

Setibanya di halaman rumah orang tuanya, dilihat ibu dan adiknya sedia menunggu di tangga berandah rumah. Dilihatnya ibunya seperti tercengang melihat dia turun dari kereta.

"Assalammualaikum Mak. Apa khabar?" Ibunya seakan terkesima melihat sesuatu.

" Ini Julia, kawan yang Man cakap dalam talipon hari tu." Sambil menjeling pada adiknya Hanis.

" Kawan ke atau Makwe?" Usik Hanis sambil mencium tangan abangnya. Azman mengkerutkan dahi sambil membeliakkan mata sebagai tanda jangan memanjangkan cerita. Hanis hanya tersenyum kecil.

" Apa khabar Makcik." Salam dihulur tanda beradat. Adat melayu masih ada dalam jiwanya walaupun dia anak kacukan. Ibunya seorang bangsa melayu yang tebal dengan adat dan sopan santun. Walaupun ibunya berkahwin dengan mat saleh namun dia tidak lupa diri. Bak kata orang dahulu adat dikelek agama dijunjung!.

" Pandai kau pilih kawan Azman, cantik, manis...marilah masuk kedalam. Makcik dah sediakan hidangan makan tengah hari. Jangan malu-malu, buat macam rumah sendiri."

" Ayah mana mak?"

" Ada. Di belakang rumah."

" Hiss banyaknya lauk makcik. nampak sedap ni"

" Takde lah. ini semua makanan kegemaran Azman. Sambal udang petai, Ikan sembilang salai masak lemak cili padi, yang ini pulak  ikan perkasam goreng. Ini jantung pisang rebus makan dengan sambal belacan. Yang di hujung tu terutup daging itik . Biasa dengan masakan ni?" Tanya Mak Bedah jujur. Takut Julia tak boleh makan makanan kampung.

" Nak cuba la ni makcik. Dulu pernah dengar masakan macam ni. Baru hari ini saya dapat merasanya."

" Makanlah jangan malu-malu. Kata orang kalau malu lapar!" Pandai ibu Azman berseloroh

" Makcik tak makan sama?

" Kami dah makan tadi. Makan ye. Makcik ke dapur kejap. Hanis temankan mereka makan ye!"

" Baiklah mak." Menjeling lagi Hanis kearah abangnya sambil mensenduk nasi ke dalam pinggan.

" Sudah lama Kak Julia kawan dengan Abang Azman?" Hanis mula merisik.

" Azman ni kawan sepejabat Kakak. So hari hari jumpa buat kerja sama-sama." Faham benar dia apa yang dimaksudkan oleh adik Azman ini. Azman membisu, tangannya laju menyuap makanan kegemaran. Malas dia nak layan karenah adiknya yang sedikit nakal itu. Kedua mereka nampak serasi , seperti sudah lama kenal, ialah perempuan jumpa perempuan tentu banyak yang mahu diperkatakan. Sesekali mereka ketawa, entah apa yang dibisikkannya pun Azman tidak tahu. Adalah tu, mengumpat aku agaknya.

Selesai bersarapan pagi, dilihatnya ayahnya sedang bersiap-siap untuk ke kebun menoreh getah. Itulah rutin ayahnya setiap hari. Dengan duit getahlah Azman dan  adiknya dibesarkan. Sukar untuk dia melupakan jasa ayah dan ibu. Setiap kali balik bercuti pasti dia akan membantu ayahnya pergi menoreh getah. Pagi itu Julia beria-ria benar mahu mengikut Azman pergi menolong ayahnya ke kebun.

" Ayah, si Julia tu nak ikut kita pergi kebun getah. Boleh?" Azman meminta, dia berdoa semuga ayahnya tidak mengizinkannya membawa Julia.

" Boleh. Si Julia tu boleh tahan dengan nyamuk dan pacat ke? " Jawab Pak Mail serius. Azman memandang kepada Julia sambil mengangkat kedua matanya  pada Julia .

" Boleh!" Jawab Julia yakin. Seumur hidupnya dia tak pernah mendengar perkataan pacat, nyamuk tidak ada hal baginya.

" Azman, pacat tu apa?

" Dia macam ulat berwarna coklat sebesar jari kelinking, kerjanya menghisap darah!" Semua ketawa berderai mendengar kata-kata Azman.

" Hiii tak naklah..geli geli" Jerit Julia, merah padam mukanya. Mahu dicubitnya lengan Azman, Azman melarikan diri sambil ketawa tak sudah. Tahu takpa. Sendiri mau ingat!





Bersambung ke BAB 4

No comments:

Post a Comment